Friday 18 November 2011

Mungkinkah aku dipanggil pulang?

Pagi Ahad itu Qausar bangkit dalam keadaan yang amat ceria. tidak pernah sebelum ini dia merasakan kesihatan yang begitu bersemangat. Kesegaran tubuhnya amat meriangkannya.

Setiap pergerakannya dilakukan dengan pantas -  capai tuala, mandi, pakai baju seluar, sikat rambut, kemas katil dan apa sahaja rutin hariannya yang sebelum ini dilakukan longlai. Setelah siap di bilik, Qausar bergerak pantas ke dapur.
"Awal bangun Char?" teguran dari ibunya yang memanggil dengan panggilan manja.
Qausar mengangkat bahunya sebagai tanda isyarat tidak tahu.
"Selalunya hari minggu macam ni jam 11 tak masuk dapur lagi" ujar ibunya lagi.
"Tak taulah bu, tiba-tiba je badan Char ni bertenaga. Macam kena kejutan elektrik. Mungkin Char minum susu terlebih malam tadi kut" Qausar cuba mengandaikan.
"Minum susu terlebih ke, buan tabiat?" ibunya pula mengandaikan.
Qausar terdiam. Buang tabiat? Biasanya kalau digelar buang tabiat, orang tu akan mati "Eish, ibu ni. Janganlah cakap macam tu"
"Gurau je," balas ibunya.
Selepas bersarapan sandwic berinti sardin dengan teh '0' Qausar terus ke belakang rumah dan mencapai penyapu lalu disapunya daun-daun kering bertaburan. Terdetik dihatinya " Eh, tak pernah-pernah pula aku pegang penyapu sebelum ni, apa kena dengan dengan aku ni?" Kemudian teringat kata-kata ibunya - 'buang tabiat'. Sememangnya dia dapat merasakan kelainan pada dirinya yang tidak seperti selalu. "Mungkin aku nak mati" bisik hati kecilnya.
Lantas dia ke dapur dan bersalam dengan ibunya sambil tersesak menangis "Maafkan Char, bu.Maafkan semua kesalahan. Halalkan makan minum ye bu"
"Char tak ada salah apa-apa...kalau ada pun ibu dah maafkan. Dah...dah ibu nak pergi pasar ni" kata ibunya dan terus keluar ikut pintu dapur. Sebelum keluar, ibunya tersenyum kepadanya sambil berkata , "Jaga rumah ni , Char"
Qausar membalas senyuman dalam tangis. Apabila ibunya telah jauh , dia baru terfikir, "Kenapa ibu tak tanya sebab apa aku menangis?"
Satu jam selepas itu, setelah Qausar siap mengemas seluruh rumah, dia dikunjungi ketua kampung dan imam yang kemudiannya membawanya ke hospital untuk melihat ibunya yang pengsan akibat serangan jantung semasa dalam perjalanan ke pasar.
Tiba di hospital, Qausar tidak sempat untuk mengucapkan kata-kata kepada ibunya kerana 10 minit sebelum itu ibunya menghembuskan nafas yang terakhir...

-Gen Q isu 3-

No comments:

Post a Comment